Skip to main content

TABAH TERHADAP SEGALA DUGAAN, SYUKURI NIKMAT LAMBANG KETINGGIAN IMAN UMAT


IMAN terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian dinamakan kesabaran dan satu bahagian lagi dinamakan kesyukuran. Kedua-duanya adalah sifat Allah dan di antara dua nama-Nya yang mulia kerana Allah sendiri menamakan diriNya dengan Sabbur dan Syakur.
Jika seseorang itu jahil daripada memahami erti kesabaran dan kesyukuran, samalah dengan tidak memahami erti kedua bahagian iman itu sendiri. Dengan demikian, samalah ia lupa kepada sifat Allah sedangkan untuk mendekatkan diri kepada Allah tidak tercapai melainkan dengan iman.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar  dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 96)
Firman-Nya lagi yang bermaksud:
“Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahala mereka tanpa batas.” (Surah al-Zumar, ayat 10)
Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sabar  itu separuh iman.” (Hadis Riwayat Abu Na’im daripada Ibn Mas’ud)
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:
“Dalam kesabaran terhadap perkara yang tidak disukai itu banyak kebaikannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi daripada Ibn Abbas)
Perkataan sabar  disebut  enam belas bentuk dalam al-Quran, iaitu perintah supaya bersabar (merujuk ayat 35 surah al-Baqarah, surah al-Imran (ayat 200),
sementara larangan daripada bersikap sebaliknya pada ayat 35, surah al-Ahqaf dan surah al-Anfal, ayat 15.
Allah memuji orang yang sabar (surah Ali-Imran, ayat 17 dan al-Baqarah, ayat 177)
sementara  Allah kasih kepada orang yang sabar melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 146.
Kesabaran lain yang dijelaskan dalam al-Quran ialah Allah bersama orang yang sabar, kebaikan bagi mereka yang sabar, balasan amal yang paling baik, berita gembira kepada orang sabar, jaminan kemenangan bagi orang yang sabar dan balasan Allah tanpa batas kepada orang yang sabar.
Selain itu, orang yang sabar adalah mereka yang kuat semangat dan azam, amalan salih yang besar balasannya adalah sabar, orang yang sabar mereka yang mengambil manfaat daripada ayat Allah, Ibrahim, kejayaan yang diingini dicapai oleh orang yang sabar, orang sabar boleh menjadi pemimpin dan mempunyai kedudukan tinggi dalam tingkatan iman dan Islam, seterusnya takwa dan tawakal.
Sabar terbahagi kepada tiga bentuk iaitu sabar dalam mentaati Allah, sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan sabar menghadapi ujian Allah. Patut diingat bahawa mengadu dan merayu kepada Allah tidak menafikan sifat sabar.
Ini seperti mana berlaku kepada Nabi Ya’kub ketika baginda berkata:
“Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku,” (Surah Yusuf, ayat 86).
Adapun yang menafikan sifat sabar adalah merungut terhadap Allah, manakala bersabar terhadap ujian Allah seperti menghadapi bencana alam seumpama banjir besar, gempa bumi, sakit dan lain sebagainya, mangsa perlu menghadapinya dengan mengharapkan balasan sebaiknya daripada Allah.
Mangsa juga perlu mengharapkan penyelesaiannya daripada Allah dan ketiga menganggap ringan ujian itu dengan cara mengingati segala nikmat yang dikurniakan Allah selama ini. Dengan demikian akan terasa bahawa ujian itu bagaikan setitik air daripada luasnya laut.
Tanpa senjata sabar dalam perjalanan hidup ini, kehidupan seseorang tidak akan tenang dan damai kerana jalan hidup tidak selalunya mendatar, ada kalanya mendaki dan kadang-kadang jatuh.
- Penulis ialah pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Comments

Popular posts from this blog

TERLENA

Indah ciptaan Allah... German_2015 TERLENA Waktu berlalu begitu pantas menipu kita yang terlena Belum sempat berzikir di waktu pagi, hari sudah menjelang siang, Belum sempat bersedekah pagi, matahari sudah meninggi. . Niat pukul 9.00 pagi hendak solat Dhuha, tiba-tiba azan Zuhur sudah terdengar.. Teringin setiap pagi membaca 1 juzuk Al-Quran, menambah hafalan satu hari satu ayat, itu pun tidak dilakukan. . Rancangan untuk tidak akan melewatkan malam kecuali dengan tahajjud dan witir, walau pun hanya 3 rakaat, semua tinggal angan-angan. . Beginikah berterusannya nasib hidup menghabiskan umur? Berseronok dengan usia? . Lalu tiba-tiba menjelmalah usia di angka 30, sebentar kemudian 40, tidak lama terasa menjadi 50 dan kemudian orang mula memanggil kita dengan panggilan "Tok Wan, Atok...Nek" menandakan kita sudah tua. . Lalu sambil menunggu Sakaratul Maut tiba, diperlihatkan catatan amal yang kita pernah bu...
Dalam Kenangan Hi-tea bersama-sama guru di akhir tahun.

Minggu Suaikenal 2010

Asslamualaikum  dan salam sejahtera Minggu suaikenal sudah berlalu, pelbagai ragam dan karenah kanak-kanak dapat dilihat. Ada yang menangis, ada yang melompat-lompat, ada yang berlari dan ada yang kelihatan seronok dan gembira. Di pihak ibu bapa pula ada yang kelihatan risau dan bimbang. Kepada semua ibu bapa tidak perlu berasa risau jika anda baru pertama kali menghantar anak-anak ke tadika atau ke taska kerana ini adalah proses awal persekolahan mereka. Lumrah kanak-kanak untuk menangis, mengamuk atau melarikan diri apabila berlaku perubahan di persekitaran mereka. Ini kerana mereka baru hendak menyesuaikan diri di tempat baru, baru hendak mengenal guru dan  juga baru hendak mengenal teman-teman mereka. Proses perubahan ini akan memakan masa seminggu ke tiga bulan. Justeru itu semua ibu bapa diharap dapat bersabar dan teruslah memberi sokongan kepada anak-anak. Mungkin tidak semudah yang dibicarakan, tetapi percayalah semua guru-guru di tadika pasti mampu menghadapi si...