Skip to main content

IKHLASKAH KITA ATAU KITA YANG TAK KENANG BUDI...

Assalamualaikum wr.wb...
kali ini kita membicarakan topik tentang ikhlas.....
Ramai di antara kita, suka menolong orang lain. Tetapi ramai juga yang merasa kecewa kerana pertolongan yang diberikan seolah-olah tidak dihargai. "Sekurang-kurangnya, ucapkanlah terima kasih." Itu nada kecewa yang seringkali kita dengar.
Banyak situasi dalam hidup kita yang datang untuk menguji sejauh manakah ikhlasnya kita. Adakah hanya sekadar di bibir sahaja tetapi di dalam hati membebel panjang?
Atau kita memang betul-betul ikhlas sewaktu memberi bantuan, tetapi apabila pertolongan yang diberi tidak dihargai, mulalah hati terasa kecewa.
Kenapa agaknya kita rasa sebegitu? Walhal apabila datang kawan atau saudara yang meminta pertolongan, lancar saja mulut kita menyebut untuk memberi bantuan seikhlas yang mungkin tanpa meminta balasan.
Tetapi ternyata, ikhlas susah untuk diberi. Adakah puncanya kerana si penerima bantuan itu yang benar-benar tidak mengenang budi?
Ataukah mungkin kita yang TIDAK MEMBERI SEPENUH HATI?
Mungkin ramai yang tidak suka dengan kenyataan di atas, namun tidak salah kalau kita sama-sama fikirkan, mungkin ada kebenarannya.
Ayuh kita lihat kembali pertolongan-pertolongan yang kita dah berikan kepada sahabat atau saudara kita.
Apabila kita memberi, adakah kita kecewa apabila tiada ucapan terima kasih sebagai balasan?
Apabila kita membantu, adakah kita mengharapkan mereka akan kembali membantu apabila kita dalam kesusahan?
Apabila kita menolong, adakah kita sakit hati apabila kita tidak lagi dihiraukan selepas mereka senang?
Apabila kita menghulur, adakah kita tak senang duduk apabila tiada penghargaan diberikan?
Apabila kita membuat kebaikan, adakah kita selalu mengungkit kebaikan yang telah dilakukan?
Apabila kita membuat kebajikan, adakah kita rasa seolah-olah mahu dihebohkan kepada semua orang kebajikan yang telah kita laksanakan?
Kalau semua persoalan di atas jawapannya adalah ada, mungkinkah kita belum lagi memiliki sifat Ikhlas? Kerana pertolongan yang diberikan seolah-olah meminta untuk dibalas.
Setuju atau tidak dengan kenyataan ini?
Apabila kita menolong binatang, kita menjadi lebih ikhlas daripada menolong manusia.
Kenapa? Kerana kita tahu binatang tidak dapat membalas kebaikan kita, oleh sebab itu, kita menolong mereka tanpa mengharapkan ucapan terima kasih, puji-pujian, atau sebagainya.
Maka, kita tidak boleh mengharapkan balasan? Bukankah kita telah menolong mereka dengan ikhlas tanpa mengharapkan pembalasan?
Sebelum tu, mari kita semak.
Harta kita yang kita guna untuk bantu sahabat dan saudara kita, milik siapa?
Tangan kita yang kita hulur untuk tolong mereka, milik siapa?
Kaki kita yang kita guna untuk permudahkan urusan mereka, milik siapa?
Telinga kita yang kita guna untuk dengar permasalahan mereka, milik siapa?
Mulut kita yang kita guna untuk memberi nasihat kepada mereka, milik siapa?
Mata kita yang kita guna untuk melihat penderitaan mereka, milik siapa?
Akal kita yang kita guna untuk fikirkan alternatif masalah mereka, milik siapa?
Kekuatan kita untuk mendengar, melihat, bercakap dan bergerak, milik siapa?
Ilham kita untuk menyelesaikan masalah mereka, milik siapa?
SEMUANYA MILIK ALLAH!
Bukankah begitu?
Andai semua itu bukan milik kita, maka kita tidak berhak untuk menagih pembalasan darinya.
Bagaimana mungkin kita berani meminta balasan, sedangkan tiada satu pun milik kita yang mutlak. Harta, kekuatan, ilham.. semua itu milik Tuhan. Jadi yang selayaknya dapat pengiktirafan selepas diberi bantuan, adalah Allah, Tuhan semesta alam.
Seharusnya, kita tidak ada apa-apa untuk dikeluh kesahkan. Tiada istilah kecewa ataupun sakit hati sekiranya dilupakan selepas memberi bantuan kerana hakikat sebenarnya bukan kita yang membantu, bahkan Allah yang melakukannya.
Jadi, kita ni sebagai apa? Sebagai ASBAB. Sebagaimana ubat itu asbab kesembuhan, kita pula asbab penyelesaian masalah mereka, dan apabila kita sendiri ditimpa masalah, rakan dan saudara menjadi asbab kepada kita pula. Cantik aturan Tuhan kan?
Jadi, apa yang kita dapat? Sepatutnya tidak ada apa-apa yang kita dapat kerana semuanya dari Allah.
Tetapi, betapa maha Pengasih dan Penyayangnya Allah. Rupanya bukan saja-saja Dia jadikan kita sebagai asbab, rupa-rupanya Dia mahu memenuhkan akaun simpanan kebaikan kita.
Walaupun semuanya dari Allah, tetapi kita yang tidak berbuat apa-apa kerana tidak memiliki apa-apa ini masih lagi dapat hadiah Hadiah lumayan dari Allah.
"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" [Al-Zalzalah:7]
 
Tengok, kita tidak memberi apa-apa, tetapi Allah memberi PAHALA kepada kita. Mudah sahaja formulanya. Beri dengan IKHLAS, tunggu Allah balas.
Jadi sebenarnya, Allah ilhamkan kita kekuatan untuk membantu orang lain, kerana Allah mahu membantu kita mempertingkatkan amal kita. Subhanallah.
Jadi, perlukah ada rasa kecewa selepas menghulurkan bantuan? Perlukah diharapkan balasan dari manusia, sedangkan ganjaran dari Allah lebih berharga dan istimewa?
Siapa kita mahu merebut penghargaan itu, sedangkan pemilik sebenarnya adalah Allah?
Andai masih ada perasaan kecewa, sakit hati dan geram, petua untuk mengubatinya mudah sahaja.
Tanya diri sendiri, layakkah nak harapkan sesuatu yang bukan milik kita?
Ingat firman Allah: 
"Katakanlah, Mahukah kami khabarkan tentang orang yang paling rugi amalan mereka? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia usaha mereka di dunia, sedang mereka menyangka telah mengerjakan sebaik-baiknya." [Al-Kahfi:103-104]
 
Ayuh, memberi dengan IKHLAS, tanpa minta DIBALAS. Ubatlah hati kita dengan memahami ayat di atas. semoga dengan petikan ini Hati kita akan jadi tenteram meskipun hati kita rasa geram dan terkilan dengan segelintir manusia yang boleh dikategorikan sebagai  tidak mengenang budi....
Wassalam.



Comments

Popular posts from this blog

TERLENA

Indah ciptaan Allah... German_2015 TERLENA Waktu berlalu begitu pantas menipu kita yang terlena Belum sempat berzikir di waktu pagi, hari sudah menjelang siang, Belum sempat bersedekah pagi, matahari sudah meninggi. . Niat pukul 9.00 pagi hendak solat Dhuha, tiba-tiba azan Zuhur sudah terdengar.. Teringin setiap pagi membaca 1 juzuk Al-Quran, menambah hafalan satu hari satu ayat, itu pun tidak dilakukan. . Rancangan untuk tidak akan melewatkan malam kecuali dengan tahajjud dan witir, walau pun hanya 3 rakaat, semua tinggal angan-angan. . Beginikah berterusannya nasib hidup menghabiskan umur? Berseronok dengan usia? . Lalu tiba-tiba menjelmalah usia di angka 30, sebentar kemudian 40, tidak lama terasa menjadi 50 dan kemudian orang mula memanggil kita dengan panggilan "Tok Wan, Atok...Nek" menandakan kita sudah tua. . Lalu sambil menunggu Sakaratul Maut tiba, diperlihatkan catatan amal yang kita pernah bu...
Dalam Kenangan Hi-tea bersama-sama guru di akhir tahun.

Minggu Suaikenal 2010

Asslamualaikum  dan salam sejahtera Minggu suaikenal sudah berlalu, pelbagai ragam dan karenah kanak-kanak dapat dilihat. Ada yang menangis, ada yang melompat-lompat, ada yang berlari dan ada yang kelihatan seronok dan gembira. Di pihak ibu bapa pula ada yang kelihatan risau dan bimbang. Kepada semua ibu bapa tidak perlu berasa risau jika anda baru pertama kali menghantar anak-anak ke tadika atau ke taska kerana ini adalah proses awal persekolahan mereka. Lumrah kanak-kanak untuk menangis, mengamuk atau melarikan diri apabila berlaku perubahan di persekitaran mereka. Ini kerana mereka baru hendak menyesuaikan diri di tempat baru, baru hendak mengenal guru dan  juga baru hendak mengenal teman-teman mereka. Proses perubahan ini akan memakan masa seminggu ke tiga bulan. Justeru itu semua ibu bapa diharap dapat bersabar dan teruslah memberi sokongan kepada anak-anak. Mungkin tidak semudah yang dibicarakan, tetapi percayalah semua guru-guru di tadika pasti mampu menghadapi si...