Skip to main content

SAMBUTAN MAULIDURASUL 2011

Rasulullah S.A.W. merupakan pesuruh Allah Taala yang diutuskan kepada umat Islam dan seluruhnya. Sebagai umat Islam yang beriman maka wajiblah kita mentaati segala perintah dan suruhan yang datangnya dari junjungan besar Rasulullah S.A.W. tanpa membantahnya walaupun sedikit. Perintah mentaati rasulNya amat jelas dinyatakan di dalam nas-nas dari al-Quran ataupun al-Hadis S.A.W di antaranya:

Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul (Rasulullah S.A.W) dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu. Jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan sunnah rasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah an-Nisa: ayat 59).

Semperna perayaan Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. pada tahun 1432 H / 2011 M ini, saya ingin mengajak semua umat Islam untuk mengingati dan menghayati sirah baginda S.A.W. dan seterusnya mengikuti serta mentaati segala ajaran yang telah dibawakan oleh Rasulullah S.A.W. kepada kita. Tulisan ini sama sekali tidak akan membahaskan hukum menyambut Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. kerana persoalan ini terlalu kerap dibahaskan pelbagai pihak saban tahun dan ia adalah masalah khilafiyyah yang tidak akan selesai hingga Kiamat.

Di sini saya senaraikan beberapa perkara yang mesti kita lakukan sekiranya kita mengaku menyayangi dan mencintai Rasulullah S.A.W.:

BERADAB DENGAN RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan rasulNya dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah a-Hujuraat: ayat 1).

Firman Allah Taala bermaksud: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan rasul (Rasulullah S.A.W) di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (Surah an-Nur: ayat 63).

MENTAATI RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada rasul (Rasulullah S.A.W) dan jaganlah kamu batalkan amal-amal kamu. (Surah Muhammad: Ayat 33).

Firman Allah Taala bermaksud: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh rasul (Rasulullah S.A.W) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. (Surah al-Hasyr: ayat 7).

Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Taatilah kamu kepada Allah dan rasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka) maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir. (Surah ali-Imran: ayat 32).

BERSELAWAT KE ATAS RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzab: ayat 56).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Orang yang bakhil ialah mereka yang disebut namaku akan tetapi ia tidak berselawat kepadaku. (Riwayat al-Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali maka Allah akan selawat kepadanya sepuluh kali. (Riwayat Muslim).

MENGASIHI RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi. (Surah ali-Imran: ayat 31).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah S.A.W) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tiga perkara sesiapa yang memiliki tiga perkara tersebut maka ia memiliki kemanisan iman: Mencintai Allah dan rasulNya lebih daripada cinta kepada perkara lain... (Riwayat Bukhari dan Muslim).

MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingat Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab: ayat 21).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan sunnah daripada sunnahku yang telah ditinggalkan selepas aku maka sesungguhnya baginya pahala seumpama pahala orang yang melakukannya tanpa sedikitpun berkurangan sementara sesiapa yang mengadakan bidaah yang sesat yang tidak diredhai Allah dan rasulNya baginya dosa seumpama dosa-dosa yang dilakukan mereka di mana tidak sedikitpun berkurangan. (Riwayat al-Tarmizi dan Ibnu Majah).

Sebagai umut Islam yang sayangkan baginda S.A.W. hendaklah kita mengikuti segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Ini sahajalah bukti yang paling kukuh bahawa kita menyayangi dan mencintai Rasulullah S.A.W. sepenuh jiwa.
Akhir sekali, di kesempatan ini pihak Tadika Intan Bestari ingin mengucapkan selamat menyambut Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. 1432 H / 2011 M kepada seluruh umat Islam. Jadikanlah amalan mengikuti ajaran baginda S.A.W. pada setiap ketika dan bukan sekali dalam setahun.

"I love Rasulullah S.A.W."








Comments

Popular posts from this blog

TERLENA

Indah ciptaan Allah... German_2015 TERLENA Waktu berlalu begitu pantas menipu kita yang terlena Belum sempat berzikir di waktu pagi, hari sudah menjelang siang, Belum sempat bersedekah pagi, matahari sudah meninggi. . Niat pukul 9.00 pagi hendak solat Dhuha, tiba-tiba azan Zuhur sudah terdengar.. Teringin setiap pagi membaca 1 juzuk Al-Quran, menambah hafalan satu hari satu ayat, itu pun tidak dilakukan. . Rancangan untuk tidak akan melewatkan malam kecuali dengan tahajjud dan witir, walau pun hanya 3 rakaat, semua tinggal angan-angan. . Beginikah berterusannya nasib hidup menghabiskan umur? Berseronok dengan usia? . Lalu tiba-tiba menjelmalah usia di angka 30, sebentar kemudian 40, tidak lama terasa menjadi 50 dan kemudian orang mula memanggil kita dengan panggilan "Tok Wan, Atok...Nek" menandakan kita sudah tua. . Lalu sambil menunggu Sakaratul Maut tiba, diperlihatkan catatan amal yang kita pernah bu...
Dalam Kenangan Hi-tea bersama-sama guru di akhir tahun.

Minggu Suaikenal 2010

Asslamualaikum  dan salam sejahtera Minggu suaikenal sudah berlalu, pelbagai ragam dan karenah kanak-kanak dapat dilihat. Ada yang menangis, ada yang melompat-lompat, ada yang berlari dan ada yang kelihatan seronok dan gembira. Di pihak ibu bapa pula ada yang kelihatan risau dan bimbang. Kepada semua ibu bapa tidak perlu berasa risau jika anda baru pertama kali menghantar anak-anak ke tadika atau ke taska kerana ini adalah proses awal persekolahan mereka. Lumrah kanak-kanak untuk menangis, mengamuk atau melarikan diri apabila berlaku perubahan di persekitaran mereka. Ini kerana mereka baru hendak menyesuaikan diri di tempat baru, baru hendak mengenal guru dan  juga baru hendak mengenal teman-teman mereka. Proses perubahan ini akan memakan masa seminggu ke tiga bulan. Justeru itu semua ibu bapa diharap dapat bersabar dan teruslah memberi sokongan kepada anak-anak. Mungkin tidak semudah yang dibicarakan, tetapi percayalah semua guru-guru di tadika pasti mampu menghadapi si...